UMP tuan rumah Penganjuran Kejohanan Sukan MASUM Fasa 1

 

KUANTAN, 24 Mac 2022 - Setelah dua tahun Kejohanan Sukan MASUM tidak dapat dijalankan, kini karnival sukan MASUM Fasa 1 dijalankan secara bersemuka melibatkan penganjuran pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) sebagai tuan rumah. 

Kejohanan kali ini berjaya menghimpunkan seramai hampir 1,000 orang atlet, pegawai kontinjen, petugas teknikal dan para sukarelawan dengan mematuhi S.O.P yang telah ditetapkan oleh Pesuruhjaya Sukan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Norma baharu yang ada pada kejohanan kali ini adalah semua sukan hanya membenarkan atlet, pengurus, jurulatih dan pegawai pasukan yang terlibat dengan acara yang dipertandingkan sahaja berada di tempat pertandingan seperti yang dijadualkan. 

Tiada penyokong atau bukan kontinjen dibenarkan di tempat pertandingan. 

 

 

Tempat pertandingan  akan disanitasi selepas tamat pertandingan pada setiap hari dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang.

Hadir merasmikan program Setiausaha Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar, Kementerian Pengajian Tinggi, Dato’ Shaharuddin Abu Sohot diiringi Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin merangkap  Pengerusi Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM). 

Menurut Dato’ Shaharuddin, bidang sukan kini telah diberi pengiktirafan, penghormatan dan penggalakan yang sama penting dengan sektor sosial yang lain bagi mencapai matlamat pembangunan negara, perpaduan dan kestabilan yang berterusan. 

“Pihak KPT amat menghargai komitmen dan sumbangan MASUM serta semua warga sukan IPT dalam mengangkat nama sukan negara di peringkat serantau dan antarabangsa. 

“Kementerian akan terus memberi sokongan penuh kepada apa sahaja program sukan yang membantu kepada pembangunan sukan di IPT dan negara,” ujarnya ketika berucap dalam majlis perasmian malam tadi. 

Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, pada kali ini sebanyak 37 pingat emas, perak dan gangsa ditawarkan untuk diraih oleh semua atlet yang bertanding. 

“Kesemua acara sukan yang dipertandingkan juga adalah secara individu dan berpasukan yang tidak bersentuhan.

“Selama empat hari mulai 24 hingga 27 Mac 2022, pastinya kampus UMP dan bandar Kuantan akan meriah dengan kehadiran para pegawai dan atlet dari kontinjen universiti awam yang bakal bersaing dalam lima jenis sukan iaitu Tekwando, Silat, Petanque dan Memanah. 

“Manakala sukan catur akan dijalankan secara dalam talian,” katanya.

Dalam pada itu, atlet IPT merupakan antara penyumbang penyertaan sukan di dalam negara. 

Berdasarkan statistik penglibatan atlet IPT, sebanyak 36.1 peratus atlet IPT telah mewakili negara bagi Asian Games Jakarta-Palembang 2018, manakala sebanyak 41.7 peratus atlet IPT mewakili negara dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018 dan 47.3 peratus pada Sukan Sea Philipines 2019.

Ia mampu melahirkan atlet-atlet berpotensi dan berwibawa untuk negara. 

Karnival MASUM ini juga merupakan salah satu platform dalam pemilihan barisan atlet untuk dua kejohanan utama sukan iaitu Sukan Universiti Dunia (UNIVERSIADE) pada 26 Jun hingga 7 Julai di Chengdu, China dan kejohanan Sukan Universiti ASEAN (AUG) yang akan berlangsung pada 26 Julai hingga 6 Ogos 2022 di Ubon Ratchathani, Thailand.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)


Print   Email