KDYMM PEMANGKU RAJA PAHANG BERANGKAT MENYEMPURNAKAN UMPSA PEKAN BRIDGE RUN 2023
Hits: 192
PEKAN, 2 SEPTEMBER 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli menyempurnakan pelepasan UMPSA Pekan Bridge Run 2023 seterusnya turut berkenan menyertai larian tersebut.
Acara larian yang bertemakan 'fun run' tersebut disertai lebih 2000 orang peserta dari dalam dan luar Pahang termasuklah pelajar sekolah dan pelajar institusi pengajian tinggi, atlet dan pengamal sukan larian negeri Pahang selain seramai 500 petugas dan sukarelawan dikalangan pelajar dan agensi yang terlibat.
Sebanyak dua kategori yang dipertandingkan iaitu 5KM dan 10KM bermula dari Hotel Ancasa, Pekan kemudian melalui Jambatan Sultan Abu Bakar ke Bandar Pekan dan berpatah balik ke Hotel Ancasa.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang turut berkenan mengurniakan hadiah kepada 5 pemenang utama setiap kategori pada upacara penutup yang berlangsung di pentas utama Kediaman Seri Kenangan, Pekan.
Turut hadir YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato' Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; Pegawai Daerah Pekan, YH Dato' Zaliza Zulkipli; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman; Naib Canselor UMPSA, YH Prof Dato Dr Yusserie Zainuddin serta barisan Exco dan kepimpinan Negeri Pahang dan pengurusan universiti.
Program anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP) tersebut adalah bersempena Sambutan Ulang Tahun UMP Ke-21 Tahun dan penjenamaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) disamping menyokong agenda matlamat pembangunan mampan serta menilai usaha universiti dalam menangani masalah dunia berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus.
Selain dari itu, program larian yang julung kali diadakan ini secara tidak langsung dapat membantu memperkenal dan mempromosi daerah Pekan Bandar Diraja sebagai salah satu lokasi pelancongan di negeri Pahang.
Berita & Gambar: PAHANGMEDIA.