Bicara Alumni :Pembahagian Masa Yang Tersusun Rahsia Khairul Anwar Cemerlang Dalam Sukan Dan Akademik
Segmen Bicara Alumni pada kali ini akan membawakan perkongsian dari seorang alumni sukan UMP.Semoga apa yang dikongsikan pada segmen kali ini memberi manfaat dan panduan buat atlet UMP khasnya dan semua pelajar UMP umumnya.
Nama Khairul Anwar Bin Mohamat bukanlah nama asing dalam sukan taekwondo UMP khususnya malah turut menjadi antara nama besar dalam kejohanan peringkat IPT seperti Masum dan Sukipt sekitar 2012 hingga 2015.
Melanjutkan pelajaran di UMP bermula semester 2011/2012,pelajar kursus Sistem Kuasa,Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik(FTKEE) ini mula mewakili UMP dalam sukan taekwondo pada tahun 2012 dalam kejohanan jemputan sebelum berjaya memenangi Pingat Perak di Kejohanan MASUM Siri 1 2012 di UMP.
Pada tahun yang sama,Khairul Anwar berjaya mengulangi pencapaian yang sama apabila sekali lagi memenangi Pingat Perak di Kejohanan Sukan MASUM Siri 3 di Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP).
Khairul Anwar terus meletakkan namanya dalam senarai penyumbang pingat buat kontinjen UMP dalam Kejohanan Sukan MASUM 2013 di IIUM Gombak dengan berjaya mengekalkan Pingat Perak miliknya buat 3 kali berturut turut sebelum memenangi Pingat Gangsa dalam kejohananan yang sama pada tahun berikutnya di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Dihubungi oleh editor Segmen Bicara Alumni,Khairul berkongsi resipi kejayaannya ialah beliau tidak pernah berhenti berlatih setiap hari walau sesibuk mana pun beliau dengan jadual akademik.
"Saya sentiasa mendisplinkan diri saya dengan latihan kerana sukan taekwondo memerlukan tahap kecergasan yang tinggi dan hanya latihan mampu mengekalkanya pada tahap terbaik"
"Biasanya saya akan sediakan jadual pembahagian masa untuk bersukan dan belajar.Dan saya khususkan minima masa saya untuk berlatih ialah satu jam sehari"tambah beliau lagi.
Dengan disiplin dan komitmen terhadap latihan itu,maka hasilnya dapat dilihat apabila beliau berjaya memenangi Pingat Emas bagi acara taekwondo dalam penampilan terakhirnya di Kejohanan Sukan MASUM 2015 di UTM,Skudai.Kejayaan itu sekaligus berjaya memastiskan beliau berjaya memenangi semua warna pingat yang dipertandingkan sepanjang penglibatan beliau dalam Kejohanan Sukan MASUM sebagai atlet UMP.
Beliau turut berkongsi detik dan kenangan manis sepanjang mewakili UMP ialah mempunyai jurulatih yang terbaik yang disediakan oleh Pusat Sukan UMP,sokongan dan kerjasama sebuah pasukan yang jitu serta semangat kekeluargaan yang sangat erat antara penyelaras,jurulatih dan rakan sepasukan telah menjadikan impian beliau untuk merangkul Pingat Emas tercapai di MASUM 2015.
"Selain itu,ibu bapa saya juga merupakan sumber inspirasi terpenting buat saya kerana sentiasa menyokong serta mendoakan kejayaan saya dalam apa jua yang saya lakukan."
Selain daripada kecemerlangan Khairul Anwar dalam sukan,beliau juga cemerlang dalam akademik apabila berjaya menamatkan pelajaran dan memperolehi ijazah beliau pada 2015.Beliau kini bertugas sebagai Pengurus Unit Kawalselia Perniagaan,Jabatan Perancangan dan Pembangunan Korporat di Risda Holdings Sdn Bhd.
Semoga beliau terus sukses dalam kehidupan beliau dan perkongsian ini menjadi nilai tambah positif buat semua atlet dan pelajar UMP.
Disediakan oleh Mohd Farid Bin Md Ali untuk Segmen Bicara Alumni,Portal Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP.(13 Februari 2020)