Persembahan Tari Silat Madani & Kumpulan Muzik Asli Pusat Sukan & Kebudayaan mengiringi Perarakan Kereta Berhias UMPSA sempena Malam Karnival Rakyat Pahang 2024.

 

KUANTAN, 3 Februari 2024 – Seramai 25 orang pelajar terlibat dalam menjayakan persembahan iringan   kereta berhias Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sempena Malam Karnival Rakyat Pahang 2024 bagi memuliakan Keberangkatan Balik KDYMM Tuanku berdua ke Negeri Pahang Darul Makmur

Persembahan Kumpulan Muzik Asli Pusat Sukan & Kebudayaan mengiringi perarakan kereta berhias di sepanjang jalan 16km bermula dari Serambi Teruntum ke Dataran Sayangi Kuantan. Manakala Kelab Kencana Pawana mempersembahkan Tari Silat Madani dihadapan pentas utama. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Al- Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj serta Kebawah Duli Yang Maha MuliaTengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat tiba menyaksikan acara. 

 

UMPSA merupakan satu-satunya Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang menyertai perarakan kereta berhias ini disamping 11 daerah dan 9 agensi negeri Pahang. Kereta berhias UMPSA menampilkan konsep teknologi dengan tema ‘Pendidikan dan Teknologi untuk Masyarakat’. Reka bentuknya menampikan replika pintu masuk Istana Abu Bakar yang merupakan istana rasmi Sultan Pahang yang terletak di bandar Diraja Pekan. Selain itu, kereta berhias UMPSA turut menyampaikan mesej dengan mengajak masyarakat sama-sama  melindungi Raja Rimba iaitu Harimau Malaya yang merupakan ikon kebanggaan negara. 

 

Nurul Fatihah Binti Jamal, mahasiswa tahun akhir Fakulti Sains dan Teknologi Industri berasa bangga kerana dapat menyumbang kepada UMPSA dengan menyertai perarakan ini. “Ini merupakan persembahan terakhir saya sebagai penari UMPSA dan ia adalah satu penghormatan dan peluang yang hebat apabila dapat membuat persembahan di hadapan KDYMM Sultan Pahang.” Katanya lagi, “saya akan merindui suasana dan pengalaman menjalani latihan bersama ahli kelab, saling memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi, tawa dan air mata yang dikongsi bersama menjadikan kelab itu seperti sebuah keluarga di UMPSA, disatukan oleh kecintaan kami terhadap tarian dan komitmen yang tinggi serta sedaya upaya memberi yang terbaik kepada UMPSA”. Fatihah mengambil kesempatan ini berterima kasih terutamanya kepada para penasihat dan Pusat Sukan & Kebudayaan UMPSA atas peluang dan pengalaman yang luar biasa ini.

Program ini turut dimeriahkan lagi dengan persembahan kesenian pelbagai kaum, pertunjukan bunga api dan persembahan nyanyian oleh artis Aina Abdul, Ameng Spring, Afieq Shazwan dan Roslan Madun serta iringan muzik orkestra daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.


Print   Email